BACHOK, 12 Julai - Kerajaan Kelantan melalui Jabatan Pertanian akan membekalkan baka kelapa yang cepat mengeluarkan hasil termasuk jenis pandan kepada petani bagi menggantikan pokok sedia ada.
Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Dato’ Husam Musa berkata, kelapa jenis berkenaan bukan sahaja bernilai tinggi sebaliknya lebih rendah dan dapat mengutip hasil dalam tempoh singkat.

“Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Pejabat Pertanian menjadikan Bachok dan Tumpat sebagai tempat bagi penanaman kelapa tersebut,” katanya selepas melawat mangsa ribut dan ladang jagung di Kampung Tok Burung, dekat sini, semalam.
Hadir pada lawatan tersebut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Desa, Dr Nik Mazian Nik Mahmud, Penyelia Parlimen Bachok, Huzaimi Hussin dan Ketua Jajahan Bachok, Adnan Hussin.
Husam berkata, masyarakat akan berdepan dengan pelbagai masalah sekiranya masih mengekalkan kelapa biasa termasuk yang ditanam di kawasan rumah.
“Ini kerana kelapa tinggi boleh menghempap rumah seperti yang berlaku di Kampung Tok Burong akibat dilanda ribut sehingga banyak rumah rosak baru-baru ini,” katanya.
Menurutnya pokok kelapa jenis baru berkenaan bukan sahaja jauh lebih rendah tetapi dapat mengutip hasilnya hanya dalam tempoh tiga tahun.
Katanya, Pejabat Pertanian di Bachok sehingga kini telah menyediakan 4,000 benih kelapa pandan yang bakal diagihkan kepada petani tidak lama lagi.
Beliau juga berkata, kerajaan negeri turut menggalakkan golongan belia yang mengganggur melibatkan diri dengan projek penanaman secara integrasi.
“Bahan buangan daripada tanaman jagung seperti batang, daun dan kulit jagung boleh dibekalkan semula kepada projek integrasi untuk dijadikan makanan ternakan,” katanya.
Kata beliau Bachok berpotensi dijalankan projek integrasi menghasilkan makanan binatang ternakan daripada buangan jagung. - mj