BUAT penonton TV3 yang menggemari siri Smallville, bersiap sedialah kerana malam anda bakal berubah apabila siri kegemaran itu kembali lagi dengan musim baru yang lebih menarik.
Berbanding dengan musim yang lalu, musim kelima Smallville kali ini menampilkan tafsiran baru terhadap mitologi Superman dan watak klasik itu diadun dengan kisah dan pengembaraan sekali gus menjadikan siri ini penuh dengan aksi yang tidak mahu dilepaskan.
Clark Kent akhirnya mula menerima takdirnya dan melangkah jauh ke hadapan untuk mempersiapkan dirinya dan menjadi 'Lelaki Besi'. Drama bersiri 22 episod ini bakal menemui penonton TV3 setiap Ahad jam 10 malam mulai 15 Julai ini.
Empat tahun dulu, hujan meteor melanda Smallville, Kansas meninggalkan penduduk bandar itu dengan pelbagai kesan dan rahsia. Dari kejadian itu, Clark Kent membesar sebagai seorang remaja yang pelik.
Walaupun dunia remaja selalu memberi cabaran, kehidupan Clark dari zaman kanak-kanak ke alam dewasa sering dilanda masalah. Dia terpaksa berusaha menyesuaikan dirinya dengan kemunculan kuasa luar biasanya dan berhadapan dengan pelbagai perkara pelik yang terjadi di Smallville sejak hujan meteor.
Dalam episod akhir musim lalu Clark, Lana dan Chloe berjaya menamatkan sekolah menengah, tetapi mereka dikejutkan dengan kehadiran tentera yang memaksa mereka meninggalkan bandar itu segera berikutan hujun meteor yang akan melanda.
Demi mencari jawapan, Clark sekali lagi bertukar menjadi Jor-El dan diberitahu yang satu-satunya jalan untuk menghentikan malapetaka itu daripada berlaku dengan menyatukan tiga biji kristal. Selepas mencuri kristal ketiga daripada Lex, Clark membawa ketiga-tiga kristal berkenaan ke dalam gua dan kemudiannya hilang dalam pusaran angin dan membawa dia ke dataran yang lapang.
Musim kelima ini bermula dengan Clark yang membuka kunci 'Fortress Of Solitude' dan dia diberi cabaran baru oleh Jor-El. Oleh kerana terdesak untuk pulang ke Smallville, Clark berjanji kepada bapa kandungnya, dia akan kembali mencarinya.
Orang yang selalu menjaga rahsia identiti Clark selama ini adalah ibubapanya Jonathan dan Martha Kent, namun dalam musim ini Clark mendapati Chloe juga mengetahui rahsianya. Selepas terjumpa Clark dalam 'Fortress Of Solitude', Chloe mengaku yang dia mengetahui mengenai kuasa Clark dan kedua-duanya bersatu untuk menegakkan keadilan.
Walaupun sebahagian daripada diri Clark gembira kerana kini dia mempunyai seseorang yang boleh berkongsi cerita mengenai kuasanya, namun sebahagian daripada dirinya masih mengingati kejadian yang melanda Pete dan dia takut nasib yang sama akan menimpa Chloe. Sementara itu, Chloe menyertai The Daily Planet sebagai pelatih sekali gus memberikannya banyak sumber baru untuk menolong Clark.
Dengan ketiadaan Clark yang melanjutkan pelajaran ke universiti kini, Jonathan dan Martha akhirnya dapat meneruskan kehidupan mereka.
Sementara Martha meneruskan mengendali restoran The Talon, Jonathan menerima kunjungan daripada kawan lama yang meyakinkan dia untuk bertanding bagi jawatan Datuk Bandar menentang Lex.
Lois Lane yang bersemangat turut menyertainya dan dilantik menjadi pengurus kempen Jonathan. Jonathan yang berazam untuk membebaskan bandar berkenaan daripada cengkaman keluarga Luthor turut menyedari tindakannya itu boleh membahayakan Clark kerana keluarganya kini menjadi perhatian masyarakat.
Clark dan Lana akhirnya bersatu selepas menyatakan perasaan cinta antara satu sama lain. Walaupun gembira dengan cintanya namun Lana merasakan masih ada yang perlu dia terokai di luar sana.
Walaupun rancangan asalnya untuk tidak menyambung pelajaran selama setahun, Lana berfikir semula keputusannya apabila melihat Clark dan Chloe yang akan menyambung pelajaran mereka. Sesudah berjanji yang tidak ada apa yang akan berubah antara mereka, Lana meninggalkan Clark untuk menetap di Metropolis bersama Chloe.
Selepas bertahun lamanya Clark menjalin persahabatan dengan Lex Luthor, namun tidak seorang pun antara mereka dapat menyangka bahawa takdir merubah hubungan mereka sepenuhnya. Musim ini menyaksikan hubungan Clark dan Lex berubah menjadi musuh ketat. Apakah yang terjadi sehingga merubah hubungan persahabatan ini menjadi musuh ketat? Musim ini juga menyaksikan kemunculan watak baru daripada DC Comics seperti Aquaman yang cuba menawan hati Lois.
Smallville musim baru ini masih mengekalkan kesemua pelakon asal siri ini iaitu Tom Welling sebagai Clark Kent, Kristin Kreuk (Lana Lang), Michael Rosenbaum (Lex Luthor), Erica Durance (Lois Lane), Allison Mack (Chloe Sullivan), John Glover (Lionel Luthor), Annette O'Toole (Martha Kent) dan John Schneider (Jonathan Kent).